ATES Dapat Kelulusan Tarif Galakan Untuk Bekal Tenaga Boleh Diperbaharui

atsys-services-parallax02

ATES Dapat Kelulusan Tarif Galakan Untuk Bekal Tenaga Boleh Diperbaharui

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) — AT Engineering Solution Sdn Bhd (ATES), anak syarikat AT Systematization Bhd (ATS), telah memperoleh Kelulusan Tarif Galakan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) untuk membekalkan tenaga boleh diperbaharui bersamaan atau kurang daripada 425 kilowatts (kW).

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ATS berkata, ATES dijangka memetrai perjanjian dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk jualan dan penghantaran tenaga boleh diperbaharui oleh ATES kepada TNB untuk tempoh konsesi selama 21 tahun.

“SEDA telah menetapkan kadar tarif 69.77 sen/kWh dan bonus tambahan kadar tarif daripada 5 sen/kWh kepada 17.22 sen/kWh yang mana ATES boleh menjual elektrik kepada TNB semasa tempoh konsesi.

“Kami akan membina loji tenaga solar 425kW di atas tapak kilang sedia ada di Taman Perindustrian Bayan Lepas Fasa IV, Pulau Pinang menjelang Disember 2015,” kata ATS.

Menurutnya, pembinaan loji tenaga solar itu dijangka dibiayai pinjaman bank, dana dalaman dan/atau dana dikumpul daripada eksesais korporat.

“Sepanjang tempoh konsesi, ATES dijangka menjana tenaga bernilai kira-kira RM11 juta.

“Kelulusan Tarif Galakan itu tidak akan mempunyai kesan penting ke atas modal terbitan dan berbayar, aset bersih sesaham dan penggearan syarikat serta anak syarikatnya,” tambah ATS.